Thursday, January 7, 2010

tiada cinta tanpa pengorbanan

Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata: Suatu hari sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?'' Jawab Rasulullah: "Ia adalah sunah bapa kamu, Ibrahim.'' Mereka berkata: "Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?'' Rasulullah menjawab: "Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.'' Mereka berkata: "Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?'' Rasulullah s.a.w. menjawab: "Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.'' (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)'

Bulan Zulhijjah merupakan bulan yang tersimpan pelbagai pengajaran bagi seluruh umat Islam selain daripada bulan yang dijanjikan pelbagai nikmat dari sisiNya. Maka tidak dapat lagi kita lari dari berbicara mengenai peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang membawa kepada apa yang dijadikan sebagai ibadat korban yang ditetapkan oleh Allah swt. Allah swt telah menceritakan di dalam al-quran mengenai dua makhluk yang amat dekat di sisiNya ini yang bermaksud:

'Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),' (As-Saaffat:102-103)

Maha Suci Tuhan, menciptakan dua susuk tubuh yang amat akur pada perintah seorang Pencipta. Betapa sukarnya Nabi Ibrahim untuk bertemu semula dengan anaknya yang ditinggalkan sejak dari kecil,dan setelah bertemu diminta pula untuk dikorbankan. Namun,cinta Allah lebih agung dari segalanya,disuarakan jua riwayat mimpi kepada si anak kecil yang masih belum kenal pada dunia, tetapi telah mengenal erti cinta. Cinta seorang hamba kepada Tuannya.

Dua susuk tubuh ini sama-sama IKHLAS berKORBAN demi CINTA kepada Allah swt.Betapa lemahnya langkah Nabi Ibrahim ketika itu kerana tahu nasib yang akan menimpa Nabi Ismail,anak kesayangannya. Dan Allah swt tidak pernah lekang walau sesaat menghitung rintih hiba hambaNya ini,apatah lagi untuk menzalimi hambanya yang beriman yang akhirnya DIA mengurniakan rahmatNya:

'Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: ' (As-Saaffat:107-108)

Sahabat,ini merupakan kekasih Allah yang diuji sebegini rupa, bagaimana pula dengan diri kita? Cubaan dan dugaan yang dihadapi setiap hari kehidupan tidak ternilai berbanding mereka.Namun masih kita mudah berkeluh kesah dan lupa akan nikmat pemberianNya. Layakkah kita ke syurga berbekalkan mahar yang dibawa?

Cinta Nabi Ibrahim kepada Sang Pencipta mengorbankan si anak yang sangat dikasihinya,
Cinta Nabi Ismail menundukkan jiwa seorang bapa untuk redha pada ketentuan dariNya,
Bagaimana pula dengan cinta kita?
Mampukah kita mengorbankan segala harta dan masa
Apatah lagi jika yang menjadi taruhan adalah nyawa
Sungguh, kita umat akhir zaman yang lalai dengan dunia
Sehingga lupa kepada cinta kepada Pencipta
Masa dibazirkan dengan berhibur dan duduk bersahaja
Harta menjadi aset untuk berlumba siapa yang lagi kaya
Bila ditanya bila nak bertaubat,jawabnya bersahaja
Tunggu nanti bila meningkat tua
Sia-sia lah separuh usia amanah dari Yang Esa.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah, telah cukupkah pengorbanan kita kepada agama ini sepertimana pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, kerana sejarah telah membuktikan, tiada cinta tanpa pengorbanan!

Saturday, January 2, 2010

Ahli-ahli Al-Quran berada di kalangan malaikat

* Seorang yang ahli di dalam Al-Quran bermakna
- seorang yang cekap menghafal & juga membaca Al-Quran. Adalah lebih terpuji jika seseorang itu menguasai maknanya.
- mereka ini insyaALLAH berada di kalangan malaikat

*Aisyah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
"seseorang yang ahli di dalam Al-Quran akan berada di kalangan malaikat-malaikat yang mana mereka itu adalah jurutulis-jurutulis mulia & lurus,dan seseorang yang tidak lancar di dalam membaca Al-Quran & terpaksa bertungkus lumus mempelajarinya akan mendapat 2 kali ganda ganjarannya"

* Seseorang yang tidak lancar akan mendapat 2 kali ganda iaitu satu untuk pembacaannya & satu lagi kerana usahanya membaca Al-Quran walaupun dia tersekat-sekat beberapa kali. Ini tidaklah bermakna bahawa ganjaran untuknya akan melebihi daripada seseorang ahli. Ganjaran untuk yang ahli adalah bagi tertinggi sekali sehingga dia berada di kalangan malaikat yang khas.

* Mulla Ali Qari telah mengeluarkan semula daripada riwayat Tabiani & Baihaqi bahawa seseorang yang payah untuk menghafal Al-Quran tetapi terus juga mempelajarinya & tidak berputus-asa daripada membacanya akan dikira oleh ALLAH Yang Maha Kuasa sebagai di kalangan para hafiz/hafizah di hari kebangkitan.

Dengan demikian membaca Al-Quran sepatutnya jangan ditinggalkan ... wallahua'lam .

Friday, January 1, 2010

fadhilat munajat tengah malam

**Oleh Muhammad Isa Selamat

1. Menurut Al-Quran

Di antaranya ayat-ayat al Quran yang menganjurkan bangun di waktu malam dan beribadah iaitu:

* Pahala mereka tidak terhalang.

Firman Allah s.w.t. ertinya:

“Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).

Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang salih.

Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.”

(Ali Imran: 113 – 115)

* Memperoleh kenikmatan di dalam syurga.

Firman Allah s.w.t. ertinya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.

(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka”

(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.”

(Ali Imran: 15 – 17)

* Allah mengangkat orang beribadah di waktu malam di tempat yang terpuji.

Firman Allah s.w.t. ertinya:

“Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu – pada hari akhirat – ditempat yang terpuji.”

(Al Isra: 78-79)

* Mempunyai sifat kemuliaan hati dan menghormati orang lain.

Allah s.w.t. berfirman ertinya:

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahmaan (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan-santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.

Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,”

(al-Furqan: 63-64)

* Orang yang bangun dan beribadah di malam hari tidak menyombongkan diri.

Allah s.w.t. berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal salih) mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka telah kerjakan.”

(As-Sajadah: 15-17)

* Memperoleh keberuntungan dan mendapat rahmat dari Allah.

Firman Allah s.w.t. ertinya:

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?” Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

(Az-Zumar: 9)

* Suka berkorban dan membantu orang-orang miskin.

Firman Allah s.w.t. ertinya:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mataair-mataair terpancar padanya.

(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.

Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).

Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”

(As-Dzariyat: 15-19)

* Mempunyai sifat kesabaran.

Firman Allah s.w.t. maksudnya:

“Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu), dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam.

Serta bertasbihlah kepadaNya pada malam hari dan sesudah mengerjakan sembahyang.”

(Qaaf: 39-40)

* Tabah dalam menunggu ketetapan dari Allah.

Firman Allah s.w.t. ertinya:

“Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemeliharaan serta pengawasan Kami dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau bangun.

Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh).”

(Ath-Thur: 48-49)

* Bangun di waktu malam untuk beribadah lebih berkesan dan khusyuk.

Firman Allah s.w.t. maksudnya:

“Wahai orang yang berselimut!

Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),

Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan “Tartiil”.

(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahi (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.

(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya.

Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerusi siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat tiada Tuhan melainkan Dia maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.”

(Al-Muzammil: 1-6)

* Bersabar dalam menjalan perintah Allah.

Firman Allah s.w.t. ertinya:

“Oleh itu hendaklah engkau bersabar menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada golongan yang menentangmu), dan janganlah engkau menurut kehendak orang yang berdosa di antara mereka, atau orang yang kufur ingkar.

Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang.

Dan (dengan apa keadaan pun, maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.”

(Al-Insaan: 24-26)



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


2. Menurut hadis Rasulullah s.a.w.

Dalam hadis-hadis Rasulullah banyak menjelaskan betapa besarnya nilai dan pahala bagi orang-orang yang suka bangun di waktu malam kemudian melaksanakan ibadah kepada Allah. Kerana malam adalah merupakan masa yang tenang dan damai, jauh dari gangguan pendengaran, penglihatan dan pengaruh-pengaruh yang lain. Sehingga seseorang dapat dengan khusyuk dalam menyampaikan permintaan atau hajatnya kepada Allah s.w.t.

Beberapa kelebihan bangun malam telah diungkapkan dalam hadis-hadis Baginda iaitu:

* Allah akan mengabulkan segala permintaan hamba-Nya.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya:

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Pada setiap malam di sepertiga terakhir pada bahagian malam, Allah turun ke langit dunia, dan berseru: “Siapa yang memanggil-Ku, maka Aku pun akan menyambutnya. Siapa yang memohon kepada-Ku, Akupun mengabulkannya. Dan siapa yang memohon ampun, maka Aku pun mengampuninya.”

(HR Bukhari, Malik, Muslim dan Tarmizi)

* Menambahkan dekatnya diri antara hamba dengan Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya:

“Sesungguhnya sedekat-dekatnya seorang hamba pada Tuhannya adalah di waktu tengah malam. Oleh sebab itu, jika kamu dapat menjadikan dirimu termasuk orang-orang yang berzikir kepada-Nya, maka kerjakanlah.”

(HR Abu Daud dan Tarmizi)

Dalam riwayat Muslim disebutkan, bahawa Allah menangguhkan hingga berakhirnya sepertiga pertama dari malam. Dan Allah turun ke langit dunia kemudian berfirman: “Aku adalah Tuhan, siapakah yang memanggil-Ku.”

* Penangkal segala penyakit yang berasal dari tubuh.

Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya:

“Hendaklah kamu semua rajin bangun malam (bertahajjud). Sebab hal itu telah menjadi kebiasaan para solihin sebelummu. Dan yang menyebabkan kamu dekat dengan Allah. Di samping itu dosa-dosa kamu dihapuskan-Nya, sekaligus penangkal segala penyakit yang berasal dari tubuh.”

(HR Tarmizi)

* Mendidik jiwa untuk bersyukur.

Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya:

“Daripada Mughirah bin Syukbah r.a. ia berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah beribadah di malam hari hingga kedua kakinya bengkak.” Lalu sahabat bertanya: “Mengapa engkau lakukan ini wahai Rasulullah, bukankah dosa-dosa yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni oleh Allah s.w.t.?” Baginda menjawab: “Tidak layakkah jika aku menjadi seorang hamba yang mensyukuri nikmat Allah.?”

(HR Ima ahli kecuali Abu Daud)

* Orang yang sukar bangun malam untuk tahajjud bersahabat dengan syaitan.

Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya:

“Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata: “Pernah diceritakan seorang sahabat kepada Rasulullah s.a.w., bahawa ada seseorang yang sepanjang malam tertidur lena, tidak pernah bangun sedikitpun untuk solat. Rasulullah menjawab: “Telinga orang itu telah di kencing oleh syaitan.”

(HR Bukhari, Muslim dan Nasa’ie)

* Tahajjud mempunyai kebaikan yang tinggi.

Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya:

Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik solat setelah solat fardhu iaitu solat tahajjud.”

(HR Muslim)

* Tidak pelupa dan suka bersedekah.

Solat tahajjud mempunyai kelebihan menjadikan seseorang tidak pelupa, suka beribadah dan suka bersedekah. Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya:

“Daripada Abdullah bin Amr bin Ash r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Barangsiapa solat malam dengan membaca sepuluh ayat al-Quran, maka tidaklah ia akan dicatat sebagai orang-orang yang lupa. Barangsiapa yang solat malam dengan membaca seratus ayat al-Quran, maka ia dicatat sebagai kaum Qanitin iaitu orang yang gemar beribadah. Barangsiapa yang solat malam dengan membaca seribu ayat al-Quran, maka dicatat sebagai kaum muqantirin iaitu orang kaya yang suka bersedekah.”

(HR Abu Daud)

Demikianlah Rasulullah s.a.w. telah menerangkan betapa penting dan tingginya pahala bagi orang-orang yang bangun di waktu malam, kemudian mengerjakan solat tahajjud dan berdoa kepada Allah s.w.t.. Pernah Rasulullah ditanya oleh para sahabat: “Amalan apakah yang paling afdal ya Rasulullah?” Baginda bersabda: “Seafdal-afdal amalan iaitu berdiri lama dalam solat malam.”

(HR Abu Daud)

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. solat malam sebanyak sepuluh rakaat, di tambah satu rakaat solat witir dan dua rakaat solat sunat fajar. Semuanya tiga belas rakaat.”

(HR Muslim)

biarkan bayu bertiup duka,terusan perjuangan mu..

"Langit tidak selalunya cerah, sulam malam tak berbintang, itulah lukisan alam, begitu aturan Tuhan,"

Indah lirik lagunya semerdu suara sang penyanyinya...

Kita perlu menerima bahawa suasana alam sentiasa berubah-ubah,ada kalanya ceria dan ada kalanya muram. Namun,adakah dengan berubahnya suasana alam,pendirian kita juga mesti berubah?(ertinya berubah daripada keinginan untuk mencapai matlamat kepada perasaan malas yang akan membinasakan diri sendiri)

Tahun baru Islam sudah beberapa hari berlalu dan umur kita pula semakin meningkat,sedangkan apabila bertambahnya peningkatan umur maka jangka hayat kita hidup di dunia yang sementara ini semakin hari semakin singkat. Entah esok,entah lusa atau mungkin dalam masa satu saat lagi kita akan dijemput oleh-Nya untuk kembali pulang. Dan tiada sesiapa pun mampu menghindarkan diri daripada kematian sebagaimana firman Allah :

"Tiap-tiap jiwa akan merasai mati dan hanya makhluk jua yang mempunyai jiwa(roh atau dalam bahasa ilmu Ushuluddin dipanggil jauhar) dan roh adalah baru dijadikan-Nya daripada tiada kepada ada,maka yang mati hanya makhluk.Allah tetap Maha Hidup Kekal."

Dalam perjalanan hidup ini, terkadang kita merasa penat dan letih ditambah pula dengan perasaan duka yang melemahkan jiwa,apatah lagi jika apa yang kita inginkan tidak dapat dicapai? Pastinya perasaan sedih dan keputus asaan akan lahir dalam jiwa.

Namun adakah apa yang kita anggap baik untuk kita itu terbaik bagi Allah? Dan mengapa Dia tidak memperkenankan keinginan dan doa yang kita rasakan terbaik untuk kita?

Sebelum persoalan di atas dijawab, ada satu lagi persoalan utama yang perlu kita jawab dahulu.

Siapa yang menjadikan kita?

Pasti jawapannya adalah Allah; Tuhan Pencipta Alam. Jika Allah yang menciptakan kita, maka Dia tahu yang mana baik dan yang mana buruk untuk kita. Oleh yang demikian terjawabnya persoalan di atas. Sesungguhnya setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmah yang terkandung di sebaliknya kerana Allah yang menciptakan kita dan Dia tahu apa yang terbaik dan apa yang akan membinasakan hamba-Nya.

Allah berfirman:

"Mungkin kamu membenci sesuatu padahal itulah yang baik bagimu,dan mungkin kamu suka pada sesuatu padahal bahaya bagimu,dan Allah yang mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."(Surah Al-Baqarah:216)

Selagi sang bayu masih bertiup meskipun hembusan bayunya pilu dan mendukakan, selagi matahari masih memancarkan cahayanya meskipun kadangkala cahayanya suram seketika apabila dilitupi sang awan, kita perlu terus berjalan dan terus berusaha meskipun kita diuji dengan kegagalan, musibah dan ujian yang membuatkan air mata sentiasa mengalir. Teruskan perjalanan kita, insyaAllah selagi mana kita berusaha, berdo'a dan bertawakkal kepada Allah, pasti Dia akan membantu kita.

Sabar adalah sumber kekuatan dan teman sejati kita. Sayyidina Umar Al-Khattab pernah berkata:

"Jika engkau sabar, maka hukum Allah tetap berjalan dan engkau mendapat pahala,dan apabila engkau tidak sabar, tetap berlaku ketentuan Allah sedang engkau berdosa."

Ingatlah bahawa Allah tidak akan membebankan seseorang melainkan apa yang mampu ditanggung oleh hamba-Nya. Pasti setiap takdir yang kita lalui ini menunjukkan bahawa kita mampu menghadapinya.

Begitulah apa yang dihuraikan oleh Dr. Fadzilah Kamsah ketika menasihati seorang lelaki suatu waktu dahulu.

Dan teruskanlah penghijrahan kita ke arah kejayaan dan kegemilangan yang diredhai-Nya, moga-moga perjalanan kita pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun lalu.

Ketika peristiwa hijrah, generasi para kekasih Allah merasai keperitan, kesengsaraan dan kelaparan. Jika mereka yang paling dikasihi Allah itu pun terpaksa bersusah payah merancang dan berkorban demi mendaulatkan Islam, maka sudah tentu kita hari ini perlu bersedia untuk berkorban jika kita benar-benar mencintai agama kita.

7 lagkah mencapai kejayaan

Artikel motivasi ini menjelaskan langkah-langkah, cara-cara, kaedah-kaedah, strategi-strategi, teknik-teknik, tip-tip, panduan-panduan atau rahsia-rahsia mencapai matlamat dan kejayaan yang anda impikan.

Untuk mencapai matlamat anda dan berjaya dalam kehidupan, anda mestilah membina suatu kebiasaan berdasarkan langkah-langkah yang telah terbukti keberkesanannya seperti berikut:

1. Wujudkan Keinginan Anda Sebesar Mungkin

Keinginan tersebut mestilah yang benar-benar anda idamkan.

Bagaimana menyemarakkan keinginan anda?

Duduk dan tulis semua keinginan anda. Nyatakan faedah-faedah dan kebaikan-kebaikan mencapai segala keinginan anda itu. Fikir dan tulislah sepuas-puasnya. Apabila senarai anda menjangkau 50 hingga 100, suatu bentuk perasaan atau semangat pada diri anda akan timbul. Teruskan. Anda akan mula menjadi lebih bersemangat. Jika anda terus menulis dan menghayati segala matlamat anda itu, semangat anda akan bertambah menyala, berapi-api!

2. Tuliskan Matlamat-Matlamat Anda

TULIS matlamat-matlamat anda di atas sehelai kertas. Jika anda tidak tulis, ia hanya akan menjadi angan-angan sahaja. Salinkannya ke dalam Buku Matlamat anda. Ini PENTING, kerana dengan berbuat demikian, ia akan menjadi perkara yang penting bagi anda. Dengan berbuat demikian juga, ia akan mula meresap ke dalam minda separa sedar anda.

3. Tetapkan Bila dan Tempoh Pencapaian Matlamat Anda

TETAPKAN bila matlamat tersebut mesti anda capai. Kaji tahap atau kedudukan anda sekarang berbanding dengan apa yang anda inginkan. Kira dan tentukan berapa banyak masa yang anda perlukan untuk mencapai matlamat anda itu.

4. Tangani Halangan

Kenalpastikan halangan-halangan yang perlu anda atasi. Seterusnya tumpukan kepada usaha mendapat bantuan; bantuan yang anda akan perlukan untuk mencapai matlamat anda - misalnya pengetahuan, pakar-pakar, penasihat-penasihat atau badan-badan tertentu.

5. Buat Perancangan

Gunakan semua butir pada langkah 3 dan 4.

RANCANGKAN tindakan-tindakan anda. Senaraikan semua aktiviti mengikut susunan keutamaannya. Perbaiki senarai anda; optimumkannya, sempurnakannya.

Ingatlah pesan Peter Drucker, seorang guru pengurusan yang pernah berkata: Cara terbaik meramal masa hadapan ialah dengan meWUJUDkannya. (The best way to predict the future is to create it).

6. Gambarkan Kejayaan Pada Minda Anda

Letakkan suatu Studio Filem di minda anda! Bayangkan satu GAMBARAN MENTAL yang anda telah berjaya mencapainya. Buat imej minda yang jelas dan terang pada mata minda anda. Mainkan gambaran itu berulang-ulang atau berkali-kali di fikiran anda.

Ingatlah bahawa: "Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang." - Cecil B. DeMille.

Ingatlah juga kata Mahatma Gandhi: Seseorang itu adalah hasil dari fikirannya. Apa yang dia fikir, itulah yang dia akan menjadi".

7. Baki 90% Adalah Usaha dan Keazaman Anda

Sokong rancangan anda dengan KEAZAMAN (Resolve) dan SEMANGAT TIDAK MENGENAL PUTUS ASA (Persistence).

Tekadkan semangat.

Tumpukan kepada kejayaan.

Fokuskan segala perhatian dan tenaga anda untuk mencapai segala matlamat anda pada waktu yang anda sendiri tetapkan.

Bulatkan hati dan fikiran.

Jangan sekali-kali berputus asa terhadap sebarang cabaran.

Lakukanlah tindakan-tindakan proaktif dan produktif. InsyaAllah, dengan diiringi doa, keazaman, disiplin yang tinggi serta usaha gigih, anda akan mencapai apa juga matlamat yang anda ingini dan impikan.

manfaat bersangka saik

Hubungan yang baik antara satu dengan lain dan khususnya antara muslim yang satu dengan muslim lainnya merupakan sesuatu yang harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara. Itulah sebabnya, segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh dan memantapkan persaudaraan harus ditumbuhkan dan dipelihara, sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak ukhuwah harus dihilangkan.

Agar hubungan ukhuwah islamiyah itu tetap terjalin dengan baik, salah satu sifat positif yang harus dipenuhi adalah husnuzh zhan (berbaik sangka). Oleh kerana itu, apabila kita mendapatkan informasi negatif tentang sesuatu yang terkait dengan peribadi seseorang apalagi seorang muslim, maka kita harus melakukan tabayyun (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum mempercayainya apalagi meresponnya secara negatif, Allah berfirman yang ertinya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." Q.S Al-Hujuraat : 6.




Manfaat Berbaik Sangka

Ada banyak nilai dan manfaat yang diperolehi seseorang muslim bila dia memiliki sifat husnuzh zhan kepada orang lain.

Pertama, hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik, perkara ini kerana berbaik sangka dalam hubungan sesama muslim akan menghindari terjadinya keretakan hubungan. Bahkan keharmonian hubungan akan semakin terasa kerana tidak ada halangan psikologis yang menghambat hubungan itu.

Kedua, terhindar dari penyesalan dalam hubungan dengan sesama kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang benar, Allah berfirman sebagaimana yang disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 6 di atas.

Ketiga, selalu berbahagia atas segala kemajuan yang dicapai orang lain, meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya, perkara ini memiliki erti yang sangat penting, kerana dengan demikian jiwa kita menjadi tenang dan terhindar dari iri hati yang boleh berkembang pada dosa-dosa baru sebagai kelanjutannya.

Ini bererti kebaikan dan kejujuran akan membawa kita pada kebaikan yang banyak dan dosa serta keburukan akan membawa kita pada dosa-dosa berikutnya yang lebih besar lagi dengan dampak negatif yang semakin banyak.


Ruginya Berburuk Sangka

Manakala jika kita melakukan atau memiliki sifat berburuk sangka, ada sejumlah kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

Pertama, mendapat dosa. Berburuk sangka merupakan sesuatu yang jelas-jelas bernilai dosa, kerana disamping kita sudah menganggap orang lain tidak baik tanpa dasar yang jelas, berusaha menyelidiki atau mencari-cari keburukan orang lain, juga akan membuat kita melakukan dan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang orang lain yang kita berburuk sangka kepadanya, Allah berfirman yang ertinya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." Q.S Al-Hujuraat : 12.


Kedua, dusta yang besar. Berburuk sangka akan membuat kita menjadi rugi, kerana apa yang kita kemukakan merupakan suatu dusta yang sebesar-besarnya, perkara ini disabdakan oleh Rasulullah:

"Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta" HR. Muttafaqun alaihi.


Ketiga, menimbulkan sifat buruk. Berburuk sangka kepada orang lain tidak hanya berakibat pada penilaian dosa dan dusta yang besar, tetapi juga akan mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk lainnya yang sangat berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun hubungannya dengan orang lain, sifat-sifat itu antara lain ghibah, kebencian, hasad, menjauhi hubungan dengan orang lain dll. Dalam satu hadith, Rasulullah bersabda:

"Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." HR. Bukhari.





Larangan Berburuk Sangka

Kerana berburuk sangka merupakan sesuatu yang sangat tercela dan mengakibatkan kerugian, maka perbuatan ini sangat dilarang di dalam Islam sebagaimana yang sudah disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 12 di atas. Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka masing-masing kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apalagi dengan sesama muslim dan aktivis dakwah.

Disamping itu, bila ada benih-benih di dalam hati perasaan berburuk sangka, maka perkara itu harus segera dicegah dan dijauhi kerana ia berasal dari godaan syaitan yang bermaksud buruk kepada kita. Dan yang lebih penting lagi adalah memperkukuh terus jalinan persaudaraan antara sesama muslim dan aktivis dakwah agar yang selalu kita kembangkan adalah berbaik sangka, bukan malah berburuk sangka. Oleh kerana itu, Khalifah Umar bin Khattab menyatakan:

"Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan."


Demikian perkara-perkara dasar yang harus mendapat perhatian kita dalam kaitan dengan sikap husnuzh zhan (berbaik sangka). Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku.


"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah"

muqaddimah

Bismillahirrahmanirrahim

Maahad Saniah atau nama sebenarnya Sekolah Menengah Ugama(Arab)Saniah, adalah sebuah sekolah tempat ana menimba ilmu pengetahuan dunia dan akhiratsekarang. Bangunan asrama kini telah menjadi sebuah Maahad Tahfiz Sains (cawangan pasir puteh). Selepas menamatkan persekolahan peringkat rendah di SRI Aman, ana menyambung pelajaran di Maahad Saniah aliran tahfiz bermula dari tingkatan satu pada tahun 2008.

Ia mempunyai 6 bangunan . Satu tempat dipanggil bangunan british yang menempatkan pelajar tingkatan 2 dan tingkatan 6 bawah, manakala bangunan baru menempatkan pelajar perempuan.Bangunan A menempatkan pejabat di tingkat atas dan pelajar tingkatan satu di tingkat bawah.Bangunan tepi masjid menepatkan pelajar lelaki tingkatan 3.Bangunan B dikhaskan untuk tinnkatan 5 menimba ilmu pelajaran.Bangunan c menempatkan pelajar tingkatan 2 perempuan.bangunan asrama dijadikan tempat penginapan bg pelajar tahfiz dan aliran biasa.tingkat 2 pula digunakan untuk dijadikan kelas bagi pelajar aliran tahfiz.dan tingkat bawah dijadikan kelas pelajar perempuan tingkatan 4. Sekarang, setelah pihak sekolah berjaya mendapatkan sumbangan orang ramai dan pihak-pihak tertentu maka maka,terbinalah sebuah masjid yang menempatkan 1000 jemaah.

Maahad Tahfiz Sains atau MTS sangat terkenal bukan sahaja di Negeri Kelantan bahkan seluruh Negara. Melalui persekolahan ini dijangka akan dapat mengeluarkan para saintis negara yang memiliki jatidiri serta modal insan yang berkualiti, bukan sahaja untuk kejayaan hidup di dunia bahkan di akhirat. Sejak ditubuhkan, MTS mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pihak ibu bapa bukan sahaja dari dalam negeri Kelantan bahkan dari luar Kelantan. Kini, MTS telah melebarkan sayapnya ke serata daerah termasuklah daerah Pasir puteh.
Maahad Tahfiz Sains cawangan Pasir puteh adalah salah sebuah sekolah Tahfiz dibawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan yang dibuka pada tahun 2007 ekoran permintaan yang begitu tinggi daripada ibu bapa untuk melahirkan para Huffaz yang hebat dan ahli sains serta profesional yang memiliki ciri modal insan yang tinggi akhlaknya, berketerampilan,
dan mampu menjadi pendakwah yang boleh menerangi orang lain.





Wassalam.
at 4.15 a.m